KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sektor pendidikan formal perlu digerakkan untuk mengkaji serta menerapkan bidang keusahawanan secara serius bagi membolehkan lebih ramai anak muda menceburi bidang itu selain kental berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran perniagaan.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat golongan itu lari daripada amalan biasa ketika mencari pekerjaan dengan terjun ke bidang berkenaan.
Malah jelas beliau, sistem pendidikan formal yang memasukkan elemen-elemen keusahawanan mampu membekalkan seseorang pelajar 'alat' untuk berfikir secara kreatif, menjadi penyelesai masalah yang berkesan, menganalisis idea-idea perniagaan secara objektif dan berkomunikasi, memimpin serta membuat penilaian dengan baik.
''Kajian mengesahkan pendidikan keusahawanan dapat membantu menggalakkan budaya keusahawanan dan inovatif dengan mengubah pemikiran serta menyediakan kemahiran yang perlu kepada pelajar.
''Walau bagaimanapun, manfaat daripada pendidikan itu tidak terhad kepada merangsang usaha inovatif dan (mewujudkan) pekerjaan baharu, tetapi mampu mempengaruhi motivasi anak muda untuk berusaha mencapai sesuatu yang mungkin sebelum ini dianggap mustahil,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu - Program Pembangunan Pendidikan Inovasi Asia Pasifik (UNESCO-APEID) Ketiga berhubung pendidikan keusahawanan, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dan Pengarah UNESCO Biro Serantau bagi Pendidikan Asia Pasifik yang beribu pejabat di Bangkok, Gwang-Jo Kim.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, dalam menumpukan kepada pendidikan keusahawanan, setiap negara berdepan dengan pelbagai cabaran yang berbeza khususnya berkaitan isi kandungan dan pedagogi.
Berhubung hal tersebut ujarnya, adalah penting untuk menyedari 'kedudukan' institusi pendidikan yang mempunyai keutamaan penekanan, tradisi, norma, pengetahuan serta tradisi dan penyelidikan masing-masing.
''Pertimbangan lain adalah sama ada pendidik dilatih secukupnya untuk membangunkan serta menyokong pemikiran keusahawanan. Ini memerlukan kerjasama efektif antara sektor pendidikan dan industri berkaitan.
''Tetapi, dalam konteks pendidikan keusahawanan, kedua-dua sektor itu perlu bekerjasama untuk melengkapkan anak-anak muda dengan kemahiran keusahawanan yang baik selain menyumbang kepada dunia perniagaan secara berkesan,'' katanya.
Oleh yang demikian jelasnya, jika semua isu terbabit dapat ditangani sewajarnya, keusahawanan akan dilihat sebagai pilihan kerjaya terbaik.
Sementara itu menurutnya, selain pelajar yang menjadi perhatian utama, ahli akademik dan penyelidik juga perlu digalakkan untuk turut sama mengambil bahagian dalam bidang keusahawanan.
''Ini supaya mereka lebih berdaya usaha dalam penyelidikan dan pendekatan pengajaran selain meningkatkan penglibatan bersama kelompok komuniti,'' tambahnya.
Sumber : http://www.utusan.com.my © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment